Wednesday, September 06, 2006

SKMK sepintas lalu


Sejarah Penubuhan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK)

Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) ditubuhkan pada 24 Februari 1947 dan dikenali sebagai North Eastern Transport Service Limited (NETS).

Semasa ditubuhkan, syarikat ini mempunyai 27 buah bas kecil yang mampu membawa 10 orang penumpang sahaja yang dinamakan ‘Mosqiuto Bus’ dan pengusahanya terdiri daripada orang-orang Melayu dan Cina.

Dari Tahun 1947 hingga 1957, syarikat tidak dapat berkembang dengan sempurna dan cergas kerana pada masa itu keadaan jalanraya tidak begitu sempurna bagi menghubungi diantara satu daerah dengan satu daerah yang lain. Disamping itu syarikat juga menghadapi masalah pengurusan Kewangan.

Oleh kerana syarikat ini menghadapi masalah dalam menjalankan operasi dan masalah kewangan yang serius, maka pada tahun 1957 RIDA (sekarang dikenali sebagai MARA) telah menghulurkan bantuan. Dengan bantuan kewangan yang diberikan dan juga penanaman modal dalam syarikat ini, secara tidak langsung MARA telah mula mengambil alih pentadbiran syarikat ini.

Pada tahun 1967, nama NETS telah ditukar kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) yang memcerminkan identiti dan semangat baru demi kejayaan syarikat.

Hari ini, SKMK telah berkembang dengan pesat sehingga mempunyai lebih 300 buah bas.

Kegiatan SKMK

Kegiatan utama syarikat ini ialah memberi perhidmatan pengangkutan bas kepada orang ramai. Kini SKMK telah menjalankan operasi di 44 laluan di seluruh negeri Kelantan, 12 laluan Perkhidmatan Ekspres untuk luar negeri Kelantan. SKMK menyediakan perkhidmatan bas henti-henti dan juga bas cepat untuk operasi dalam negeri. Laluan bas cepat dalam negeri Kelantan adalah:
Kota Bharu - Rantau Panjang
Kota Bharu - Jertih
Kota Bharu - Tanah Merah
Kota Bharu - Kuala Krai
Selain itu, SKMK juga menyediakan perkhidmatan bas kilang.

SKMK juga telah menyediakan beberapa stesen di seluruh negeri Kelantan bagi memudahkan iaitu di Kota Bharu, Langgar Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Bachok.

Selain itu, SKMK telah menyediakan beberapa buah stesen kecil di beberapa daerah selain daripada bengkel utama di Kubang Kerian, iaitu di Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Tumpat.

Kini SKMK merupakan anak syarikat sebuah badan koporat Nadicorp Holdings Sdn Bhd selepas Mara Holding Sdn Bhd di swastakan sepenuhnya berkuatkuasa pada 6 jun 2000.

No comments: